Tuesday, November 2, 2010

Takziah Buat Rakan Kita

Langkawi- Pada tanggal 1 November 2010, seorang mahasiswa Langkawi yang menuntut di IPTA tempatan telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam. Berita dapat diketahui melalui saudara di Langkawi dan laman sosial facebook. Rakan tersebut ialah Mohd Saiful Md Isa merupakan mahasiswa tahun 2 fakulti ekonomi, Universiti Malaya.

Pihak IKMAL tidak maklumat yang pasti, menurut cakap-cakap masyarakat di sana. Arwah mengidap penyakit yang tidak boleh diubati dengan teknologi moden, dia terpaksa menangguhkan semester pengajian pada semester lepas untuk perubatan tradisional. Menurut istilah islam, penyakitnya adalah disihir oleh seseorang yang ingin menjatuhkan atau tidak berpuas hati sesuatu perkara.

"Saya pernah berjumpa dengan arwah pada cuti hari raya puasa lepas. Saya melihat keadaannya amat teruk kerana wajahnya cekung tetapi perutnya kembung atau busung," ujar Fithri,Pengerusi IKMAL.

"Saya memkonklusikan bahawa dia terkena santau ataupun sihir," ujar lagi Fithri.

Budaya sihir merupakan amalan yang menyebabkan syirik serta boleh membatalkan iman. Pihak IKMAL berharap keluarga arwah dapat menghadapi masa-masa hadapan, kuatkan iman, moga Allah membalas perbuatan orang yang tidak berhati perut. Akhirnya sekali, sama-sama kita menghadiahkan al-fatihah kepada arwah, Al-fatihah..

Sunday, October 31, 2010

Exam Mode..





SALAM IMTIHAN BUAT SEMUA MAHASISWA LANGKAWI


" KITA CURAHKAN USAHA DAN KOMITMEN SEPENUH HATI, NATIJAHNYA KITA TAWAKAL KEPADA-NYA"

~IKMAL~

Wednesday, October 20, 2010

ZIKRUL MAUT.....



“Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baqa' dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.”

(HR. Ibnu Majah dan Abiddunya)

Mau'izah (Peringatan)




قوله تعالى: لكل أمة أجل إذا جاء أجلهم فلا يستئخرون ساعة ولا يستقدمون.

Maksudnya: bagi setiap umat mempunyai ajal (batas waktu), apabila tiba ajalnya, mereka tidak dapat membuat penundaan atau percepatan sesaat pun. (surah Yunus: 49).


Pada hari ini 20 Oktober 2010 merupakan hari yang bakal diingati oleh salah seorang sahabat kita , saudari Anis Hamizah Hamid, mahasiswa persijilan di Darul Quran, Kuala Kubu Baru yang telah kehilangan ayahnya pada pagi tadi. beliau merupakan anak sulung daripada 4 orang adik- beradik di harap tabah menerima ujian ini. kami dari pihak IKMAL mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga beliau dan moga di beri kekuatan dari Allah untuk menerima ujian ini.sama- sama kira sedekahkan al-fatihah buat ayah beliau. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayahnya. AL-FATIHAH.


Allah memberi peringatan kepada kita dengan banyak ayat dalam al-Quran yang menerangkan tentang hari kiamat, kematiaan, azab dan balasan syurga serta neraka. sebagai hambaNya maka perlu lah kita untuk mengambil istifadah atau pengajaran untuk bekalan dalam perjalanan hidup kita untuk menuju negeri abadi. kematiaan yang berlaku di sekeliling kita adalah peringatan yang terbaik kerana kita juga akan kembali kepadaNya. cuma masa dan waktunya adalah di rahsiakan agar kita sentiasa bersedia.

sisa masa yang masih kita ada ini, gunakan sebaiknya untuk membaiki segala kesilapan dan mempertingkatkan amal ibadat kita kepadaNya dengan pelbagai cara dan kaedah. Allah sentiasa kasih kepada hambaNya dan pintu taubat sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan taubat hambaNYa. firman Allah yang bermaksud: " berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan padamu". ini adalah bukti Pemurahnya Allah terhadp kita, cuma kita alpa dan leka sehingga lupa siapakah kita, sekadar setitis air mani yang mani, apabila di campakkan ayam pun tidak makan, itik pun tak sudu. jangan lah kita angkuh dan bongkak dengan nikmat yang kita ada, dan kita terlupa semua yang kita punya adalah milikNya.


ayuh muhasabah bersama. ini peringatan buat diri penulis dan pembaca yang budiman.



~jiwa sufi, minda haraki~

Thursday, September 30, 2010

Ikhtilat.. Jangan Pandang Remeh

Ikhtilat...Ikhwah...Akhawat
www.iLuvislam.com
oleh: Cik Hijau


Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari.

Tambahan kemajuan era teknologi sekarang, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti Yahoo Messenger, SMS, e-mail, dan Friendster. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutama remaja-remaja.


Kadang kala perhubungan dimulakan atas dasar kerja tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredhaan manusia dalam kemurkaan Allah.

Apabila wujud golongan yang menegah dan menunjukkan kaedah muamalat yang selari dengan syariat Islam maka timbullah konsep SYADID. Sememangnya Islam itu mudah dan tidak membebankan tapi tidak bermakna kita layak untuk mempermudah-mudahkan syariat Islam.

Adakah salah seorang nisa' dan rijal menjaga maruah dan pergaulannya. Bercakap, berurusan, berjumpa dan berbincang atas keperluan? Adakah salah bagi seorang nisa' terutamanya menegaskan suaranya dan menjaga pandangan demi menjaga maruah dirinya.

Dalam Al-Quran ada menyebut: "Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka." (An-Nur:31)

Apabila rijal dan nisa' berjumpa tidak kira atas apa jua keperluan dan keadaan perlulah berteman bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: "Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga."

Ada yang menimbulkan alasan malas menyusahkan rakan untuk menemankan kita. Malas nak tunggu rakan. Malas itu malas ini. Besar sangatkah malas kita berbanding arahan Allah dalam Al-Quran? Tegarkah kita melawan syariatNya.

Syariat Islam turut menyarankan kepada kita untuk menundukkan pandangan. Bukan sahaja haram melihat aurat bukan muhrim malahan bahagian-bahagian bukan aurat turut dilarang. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (berdosa)."

Kalau dah bergaul dan bercampur bebas masakan kita mampu menahan dan menjaga pandangan. Usah menegakkan benang yang sememangnya basah. Ana bukanlah nak menghukum tanpa memberikan jalan penyelesaian. Jom kita berkongsi tip-tip berurusan dengan bukan muhrim:

1. Elakkan berhubungan dengan lelaki. Kalau ada peluang untuk minta bantuan dari nisa' (bagi nisa') dan rijal (bagi rijal), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kudrat kita contohnya apabila nisa' minta bantuan rijal soal baiki latop, kereta dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan nisa'. Silalah mempergunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Begitu jugalah sebaliknya bagi rijal.

2. Andai terpaksa berhubung dengan bukan muhrim gunakanlah perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat. Tak perlulah meletakkan ikon senyum yang sememangnya comel. Tak perlu disertakan dengan gelak ketawa seperti huhu, haha, hihi, hikhik. Seolah –olah kanak-kanak tadika mengajar mengeja. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah.

Andai terdesak sangat untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama nisa' selari dengan tuntutan Al-Quran: "Wahai isteri2 nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu org yang ada penyakit dlm hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yg baik." Takkanlah nak tunggu Allah menempelak kita dengan balaNya?

3. Tundukkan hati. Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan muhrim kita perlu risaukan kemurkaanNya. Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dariNya supaya dipelihara daripada panahan syaitan.

4. Tundukan pandangan. Jangan tertipu dgn matapelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Teramatlah disarankan demi membina ukhwah yang kukuh. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati". Tak bermakna tundukan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang.

5. Mempercepatkan urusan. Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa peneman anda.



"Lalu apa yang telah aku lakukan selama ini...Ya Rabb...tolong ampuni aku...untuk setiap pandangan yang tak terjaga, lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab... Ya Rabb...Engkau mengawasi kami tiap detik, karena kasih sayangMu kepada kami Engkau perintahkan malaikat silih berganti menemani kami siang dan malam..."

Semoga ia menjadi peringatan bagi kita. Semoga kita dapat mewujudkan biah solehah dalam keredhaanNya. Peringatan untuk diri yang lemah dan banyak kesilapan serta kekurangan dan sahabat-sahabat Islam yang dikasihi.

"Elakkanlah berhubung tanpa urusan yang benar2 penting dengan wanita2 (berlawanan jantina) kerana di situlah letaknya jalan SYAITAN".

Tuesday, September 21, 2010

Feri penumpang tenggelam di jeti Kuah

Sebuah feri yang sebelum ini diguna membawa penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi tenggelam ketika disenggara di Jeti Kuah di Langkawi.

Pengarah Urusan JMV Ferry Service Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata insiden itu disedari berlaku kira-kira jam 9.30 malam semalam oleh pekerja syarikat tersebut.

Feri itu tenggelam sepenuhnya pukul 7.30 pagi tadi, katanya ketika dihubungi di Langkawi hari ini.

Beliau berkata feri tersebut yang boleh memuatkan sehingga 90 penumpang dihantar untuk penyenggaraan selepas berlaku kebocoran pada bahagian ekzos.

Kerugian ditaksir lebih RM1 juta.

Difahamkan usaha menaikkan feri seberat 25 tan dengan panjang lebih 20 meter itu sedang dijalankan menggunakan kren, manakala tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati anggota Jabatan Laut sedang mengawal tumpahan minyak dari feri tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Mohamad Sayuti Sapie berkata pihaknya telah mengambil sampel tumpahan minyak di kawasan kejadian.

"Kita sedang bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk memantau keadaan kawasan itu," katanya ketika dihubungi.

- Bernama

Wednesday, September 1, 2010

Jadikan Salman Al-farisy sebagai model perubahan

www.iluvislam.com
Dihantar Oleh : Ain Farhana
Editor: Isyrak

Sesungguhnya sesiapa yang mencari kebenaran, pasti akan menemuinya. Kisah ini adalah kisah benar pengalaman seorang manusia mencari agama yang benar (hak), iaitu pengalaman SALMAN AL FARISY

Marilah kita semak Salman menceritakan pengalamannya selama mengembara mencari agama yang hak itu. Dengan ingatannya yang kuat, ceritanya lebih lengkap, terperinci dan lebih terpercaya. seorang sahabat Rasulullah saw.


Dari Abdullah bin Abbas Radliyallahu ‘Anhuma berkata, “Salman al-Farisi Radliyallahu ‘Anhu menceritakan biografinya kepadaku dari mulutnya sendiri. Kata Salman, “Saya pemuda Parsi, penduduk kota Isfahan, berasal dari desa Jayyan. Bapaku pemimpin Desa. Orang terkaya dan berkedudukan tinggi di situ. Aku adalah insan yang paling disayangi ayah sejak dilahirkan. Kasih sayang beliau semakin bertambah seiring dengan peningkatan usiaku, sehingga kerana teramat sayang, aku dijaga di rumah seperti anak gadis.

Aku mengabdikan diri dalam Agama Majusi (yang dianut ayah dan bangsaku). Aku ditugaskan untuk menjaga api penyembahan kami supaya api tersebut sentiasa menyala.

Ayahku memiliki kebun yang luas, dengan hasil yang banyak Kerana itu beliau menetap di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu hari bapa pulang ke desa untuk menyelesaikan suatu urusan penting. Beliau berkata kepadaku, “Hai anakku! Bapa sekarang sangat sibuk. Kerana itu pergilah engkau mengurus kebun kita hari ini menggantikan Bapa.’’

Aku pergi ke kebun kami. Dalam perjalanan ke sana aku melalui sebuah gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka sedang sembahyang. Suara itu sangat menarik perhatianku.

Sebenarnya aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan agama-agama lain. Kerana selama ini aku dikurung bapa di rumah, tidak boleh bergaul dengan siapapun. Maka ketika aku mendengar suara mereka, aku tertarik untuk masuk ke gereja itu dan mengetahui apa yang sedang mereka lakukan. Aku kagum dengan cara mereka bersembahyang dan ingin menyertainya.

Kataku, “Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami."Aku tidak berganjak dari gereja itu sehinggalah petang. Sehingga aku terlupa untuk ke kebun.

Aku bertanya kepada mereka, “Dari mana asal agama ini?”

“Dari Syam (Syria),” jawab mereka.

Setelah hari senja, barulah aku pulang. Bapa bertanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau kepadaku.

Jawabku, “Wahai, Bapa! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di gereja. Aku kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat cara orang sembahyang seperti itu. Kerana itu aku berada di gereja mereka sampai petang.”

Bapa menasihati akan perbuatanku itu. Katanya, “Hai, anakku! Agama Nasrani itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu (Majusi) lebih baik dari agama Nasrani itu!”

Jawabku, “Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama merekalah yang lebih baik dari agama kita.”

Bapa khuatir dengan ucapanku itu. Dia takut kalau aku murtad dari agama Majusi yang kami anuti. Kerana itu dia mengurungku dan membelenggu kakiku dengan rantai.

Ketika aku beroleh kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang Nasrani minta tolong kepada mereka untuk memaklumkan kepadaku andai ada kafilah yang akan ke Syam supaya memberitahu kepadaku. Tidak berapa lama kemudian, datang kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke Syam. Mereka memberitahu kepadaku.

Maka aku berusaha untuk membebaskan diri daripada rantai yang membelengu diriku dan melarikan diri bersama kafilah tersebut ke Syam.

Sampai di sana aku bertanya kepada mereka, “Siapa kepala agama Nasrani di sini?”

“Uskup yang menjaga “jawab mereka.

Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, “Aku tertarik masuk agama Nasrani. Aku bersedia menadi pelayan anda sambil belajar agama dan sembahyang bersama-sama anda.”

‘Masuklah!” kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.

Setelah beberapa lama aku berbakti kepadanya, tahulah aku Uskup itu orang jahat. Dia menganjurkan jama’ahnya bersedekah dan mendorong umatnya beramal pahala. Bila sedekah mereka telah terkumpul, disimpannya saja dalam perbendaharaannya dan tidak dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin sehingga kekayaannya telah berkumpul sebanyak tujuh peti emas.

Aku sangat membencinya kerana perbuatannya yang mengambil kesempatan untuk mengumpul harta dengan duit sedekah kaumnya. tidak lama kemudian dia meninggal. Orang-orang Nasrani berkumpul hendak menguburkannya.

Aku berkata kepada mereka, ‘Pendeta kalian ini orang jahat. Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan pahala yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah kepadanya disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang diberikannya kepada fakir miskin.”

Tanya mereka, “Bagaimana kamu tahu demikian?”

Jawabku, “Akan kutunjukkan kepada kalian simpanannya.”

Kata mereka, “Ya, tunjukkanlah kepada kami!”

Maka kuperlihatkan kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh peti, penuh berisi emas dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya, mereka berkata, “Demi Allah! Jangan dikuburkan dia!”

Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka lempari dengan batu. Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai penggantinya. Akupun mengabdikan diri kepadanya. Belum pernah kulihat orang yang lebih zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi sangat cinta kepada akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu aku sangat menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.

Ketika ajalnya sudah dekat, aku bertanya kepadanya, “Wahai guru! Kepada siapa guru mempercayakanku seandainya guru meninggal. Dan dengan siapa aku harus berguru sepeninggalan guru?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku tahu, melainkan seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan menukar-nukar ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!”


Maka tatkala guruku itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta yang tinggal di Mosul. Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan guruku yang sudah meninggal itu.

Kata pendeta Mosul, “Tinggallah bersama saya.”

Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta yang baik. Ketika dia hampir meninggal, aku berkata kepada nya, “Sebagaimana guru ketahui, mungkin ajal guru sudah dekat. Kepada siapa guru mempercayai seandainya guru sudah tiada?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!”

Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal, aku pergi menemui pendeta di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku serta pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, “Tinggallah bersama kami!”

Setelah aku tinggal di sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang baik. Aku mengabdi dan belajar dengannya sehinggalah beliau wafat. Setelah ajalnya sudah dekat, aku berkata kepadanya, “Guru sudah tahu perihalku maka kepada siapa harusku berguru seandainya guru meninggal?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta yang masih memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Amuria. Hubungilah dia!”

Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka kuceritakan kepadanya pengalamanku.

Katanya, “Tinggallah bersama kami!
Dengan petunjuknya, aku tinggal di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah dekat pula ajalnya, aku berkata kepadanya, “Guru sudah tahu urusanku. Maka kepada siapakah lagi aku akan anda percayai seandainya guru meninggal dan apakah yang harus kuperbuat?”

Katanya, “Hai, anakku! Setahuku tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang berpegang teguh dengan agama yang murni seperti kami. Tetapi sudah hampir tiba masanya, di tanah Arab akan muncul seorang Nabi yang diutus Allah membawa agama Nabi Ibrahim.

Kemudian dia akan berpindah ke negeri yang banyak pohon kurma di sana, terletak antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai ciri-ciri yang jelas. Dia mahu menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak mahu menerima dan memakan sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat tanda kenabian. Jika engkau sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah dia!”

Setelah pendeta Amuria itu wafat, aku masih tinggal di Amuria, sehingga pada suatu waktu segerombolan saudagar Arab dan kabilah “Kalb” lewat di sana. Aku berkata kepada mereka, “Jika kalian mahu membawaku ke negeri Arab, aku berikan kepada kalian semua sapi dan kambing-kambingku.”

Jawab mereka, “Baiklah! Kami bawa engkau ke sana.”
Maka kuberikan kepada mereka sapi dan kambing peliharaanku semuanya. Aku dibawanya bersama-sama mereka. Sesampainya kami di Wadil Qura aku ditipu oleh mereka. Aku dijual kepada seorang Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi dengan Yahudi itu dan berkhidmat kepadanya sebagai hamba. Pada suatu hari anak saudara majikanku datang mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya daripada majikanku.

Aku berpindah ke Yastrib dengan majikanku yang baru ini. Di sana aku melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku, Pendeta Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku tinggal di kota itu bersama majikanku yang baru.

Ketika itu Nabi yang baru diutus sudah muncul. Tetapi baginda masih berada di Makkah menyeru kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar apa-apa tentang kehadiran serta da’wah yang baginda sebarkan kerana aku terlalu sibuk dengan tugasku sebagai hamba.

Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah saw. berpindah ke Yastrib. Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon kurma melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu duduk di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak saudaranya mengatakan, “Biar mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus dan Khazraj) Demi Allah! Sekarang mereka berkumpul di Quba’ menyambut kedatangan lelaki dari Makkah yang mendakwa dirinya Nabi.”

Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin seperti demam, sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh dan tubuhku akan menimpa majikanku. Aku segera turun dari puncak ponon, lalu bertanya kepada tamu itu, “Apa kabar anda? Cubalah khabarkan kembali kepadaku!”

Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, “Ini bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!”

Keesokannya aku mengambil buah kurma seberapa banyak yang mampu kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan Rasulullah saw..

Kataku “Aku tahu tuan orang soleh. Tuan datang bersama-sama sahabat tuan sebagai perantau. Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekahkan kepada tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih berhak menerimanya daripada yang lain-lain.” Lalu aku hulurkan kurma itu ke hadapannya.

Baginda berkata kepada para sahabatnya, “silakan kalian makan,…!” Tetapi baginda tidak menyentuh sedikit pun makanan itu apalagi untuk memakannya.

Aku berkata dalam hati, “Inilah satu di antara ciri cirinya!”

Kemudian aku pergi meninggalkannya dan kukumpulkan pula sedikit demi sedikit kurma yang terdaya kukumpulkan. Ketika Rasulullah saw. pindah dari Quba’ ke Madinah, kubawa kurma itu kepada baginda.

Kataku, “Aku lihat tuan tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit kurma, sebagai hadiah untuk tuan.”

Rasulullah saw. memakan buah kurma yang kuhadiahkan kepadanya. Dan baginda mempersilakan pula para sahabatnya makan bersama-sama dengannya. Kataku dalam hati, “ini ciri kedua!”

Kemudian kudatangi baginda di Baqi’, ketika baginda menghantar jenazah sahabat baginda untuk dimakamkan di sana. Aku melihat baginda memakai dua helai kain. Setelah aku memberi salam kepada baginda, aku berjalan mengekorinya sambil melihat ke belakang baginda untuk melihat tanda kenabian yang dikatakan guruku.

Agaknya baginda mengetahui maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang menyelimuti belakangnya, sehingga aku melihat dengan jelas tanda kenabiannya.

Barulah aku yakin, dia adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku terus memeluk bagindanya, lalu kuciumi dia sambil menangis.

Tanya Rasulullah, “Bagaimana khabar Anda?”

Maka kuceritakan kepada beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau kagum dan menganjurkan supaya aku menceritakan pula pengalamanku itu kepada para sahabat baginda. Lalu kuceritakan pula kepada mereka. Mereka sangat kagum dan gembira mendengar kisah pengalamanku.

Berbahagilah Salman Al-Farisy yang telah berjuang mencari agama yang hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah menemukan agama yang hak, lalu dia iman dengan agama itu dan memegang teguh agama yang diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari kematiannya, dan pada hari dia dibangkitkan kembali kelak.

Salman sibuk bekerja sebagai hamba. Dan kerana inilah yang menyebabkan Salman terhalang mengikuti perang Badar dan Uhud. “Rasulullah saw. suatu hari bersabda kepadaku, "Mintalah kepada majikanmu untuk bebas, wahai Salman!" Maka majikanku membebaskan aku dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku tanam untuknya dan 40 uqiyah.

Kemudian Rasulullah saw. mengumpulkan para sahabat dan bersabda, "Berilah bantuan kepada saudara kalian ini." Mereka pun membantuku dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang memberiku 30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10 pohon, setiap orang sahabat memberiku pohon kurma sesuai dengan kadar kemampuan mereka, sehingga terkumpul benar-benar 300 pohon.

Setelah terkumpul Rasulullah saw. bersabda kepadaku, "Berangkatlah wahai Salman dan tanamlah pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah selesai datanglah kemari aku akan meletakkannya di tanganku."

Aku pun menanamnya dengan dibantu para sahabat. Setelah selesai aku menghadap Rasulullah saw. dan memberitahukan perihalku, Kemudian Rasulullah saw. keluar bersamaku menuju kebun yang aku tanami itu. Kami dekatkan pohon (tunas) kurma itu kepada baginda dan Rasulullah saw. pun meletakkannya di tangan baginda. Maka, demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, tidak ada sebatang pohon pun yang mati.

Untuk tebusan pohon kurma sudah dipenuhi, aku masih mempunyai tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah saw. membawa emas sebesar telur ayam hasil dari rampasan perang. Lantas baginda bersabda, "Apa yang telah dilakukan Salman al-Farisi?"

Kemudian aku dipanggil baginda, lalu baginda bersabda, "Ambillah emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!"

"Wahai Rasulullah saw., bagaimana status emas ini bagiku? Soalku inginkan kepastian daripada baginda.

Rasulullah menjawab, "Ambil saja! Insya Allah, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberi kebaikan kepadanya." Kemudian aku menimbang emas itu. Demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, berat ukuran emas itu 40 uqiyah. Kemudian aku penuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada majikanku, dan aku dimerdekakan.

Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah saw. dalam perang Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak aku ikuti.’

(HR. Ahmad, 5/441; ath-Thabrani dalam al-Kabir(6/222); lbnu Sa’ad dalamath-Thabagat, 4/75; al-Balhaqi dalam al-kubra, 10/323.)

Monday, August 30, 2010

Merdeka merentasi kejumudan dan stereotaipe fikiran mahasiswa.


Assalamualaikum dan salam perubahan, detik ini kita telah menyambut hari kemerdekaan yang ke-53. Sudah lebih separuh abad kita merdeka. Namun, kebebasan yang diimpi hanyalah kebebasan lahiriah sahaja, tetapi kebebasan yang dimaksudkan sebenar masih belum di capai sepenuhnya. Untuk contoh mudah, kini gejala sosial terumatamnya dikalangan mahasiswa masih lagi meruncing. Baru-baru ini kita selalu dihamburi pelbagai berita mengenai pembuangan bayi. Masih merdekakah kita? Golongan yang dikatakan cerdik pandai adalah majoriti melakukan kes tersebut. Itu hanya kita cakap soal budaya sosial remaja, belum lagi kita bincang mengenai sistem pendidikan, politik, sosial-ekonomi dalam negara. Sistem masih menjajah kita. Mananya erti kemerdekaan yang sebenarnya, dimana malam merdeka dihidangkan remaja dengan hiburan yang melampau. Adakah ini yang dikatakan merdeka? Kita melaungkan slogan "merdeka" tapi tidak masuk di hati kita. Kemerdekaan untuk mahasiswa masih belum dapat dicapai kerana mahasiswa sekarang di belenggu dengan Akta AUKU yang menyekat mahasiswa untuk berpolitik. Mahasiswa bukan lagi budak sekolah, tapi kita sebagai mahasiswa menjadi mata dan telinga rakyat. Kitalah yang mencorak masa depan negara, sekiranya masih lagi diikatkan tali, harapan melahirkan generasi pelapis akan pudar. Seterusnya, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa terutamanya mahasiswa Langkawi, jadi orang yang selalu didepan, jangan jadi mahasiswa diketuk baru nak buat kerja. Selain itu, saya ingin mengucap selamat menemui malam lailatul-qadr dan hari raya. Selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. Tingkatkan usaha dalam pembejaran, kalau ada tugasan siapkan awal, insya allah mahasiswa Langkawi mahasiswa cemerlang. Sekian, terima kasih.

"MAHASISWA PIMPIN DUNIA"

Iklhas dari IKMAL

Fithri Bin Saad
Pengerusi Ikatan Mahasiswa Langkawi (IKMAL)

Tuesday, August 24, 2010

MP Langkawi Datuk Abu Bakar Taib bantah cadangan jambatan Langkawi.

Pelbagai pihak termasuk penduduk Langkawi berharap cadangan projek pembinaan jambatan menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis tidak diteruskan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada pulau itu sebagai destinasi pelancongan.

Mereka menyokong kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan cadangan projek pembinaan jambatan itu kerana ia akan menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu.

Anggota Parlimen Langkawi Datuk Abu Bakar Taib berkata pembinaan jambatan itu akan menimbulkan kesesakan kenderaan berikutan kemasukan kereta dari tanah besar.

Beliau berkata kenderaan yang sedia ada sudah banyak dan jika kenderaan luar datang keadaan akan bertambah sesak, dan boleh memberi kesan kepada kehadiran pelancong ke pulau peranginan itu.

"Kedudukan Langkawi sebagai pulau perlu dikekal dan kita tidak mahu kecantikannya terjejas," katanya selepas menyampaikan sumbangan moreh Amanah Saham Anak Langkawi (Asal) kepada beberapa masjid dan surau di Langkawi.

Dua syarikat di Perlis telah mencadangkan untuk membina jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis.

Jumaat lepas, Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd Kamarudin Husin berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu termasuk pembinaan jambatan monorel.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kuala Melaka Fadzil Din juga tidak setuju dengan pembinaan jambatan berkenaan.

"Kami mahu Langkawi terus kekal seperti sekarang, tanpa ada pembinaan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata dengan adanya jambatan, pelancong mungkin tidak menginap di Langkawi sebaliknya pulang menerusi jambatan itu, yang akhirnya akan menjejaskan industri pelancongan di pulau peranginan itu.

--Bernama

PAS Perlis, Langkawi pula mahu jambatan Langkawi.

PAS Perlis dan Langkawi hari ini menongkah arus dengan penduduk pulau tersebut apabila tetap mahukan sebuah jambatan dibina menghubungkan antara kedua-dua kawasan tersebut.

Malah mereka juga menolak pandangan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan RM130 bilion itu atas alasan "menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu".

"Kalau pembinaan jambatan sahaja, ia tidak menjejaskan (kecantikan) pulau itu. Kita jangan jadikan Langkawi sebagai pusat perindustrian.

"Kekalkan sebagai pusat pelancongan. Kekalkan alam semula jadi flora dan fauna," kata Ketua Penerangan PAS Perlis Rus'sele Eizan.

Rus'sele mengulas cadangan pembinaan jambatan tersebut yang mendapat bangkangan daripada Dr Mahathir - penggerak utama kemajuan Langkawi.

Dilaporkan cadangan pembinaan jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis merupakan antara projek yang ingin dibangunkan oleh Juruelit Sdn Bhd dan Kalammas Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin dilapor berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana untuk melaksanakan projek itu, yang akan dilaksanakan sekali dengan pembinaan jambatan monorel.

Tolak kemajuan

Jika menjadi menjadi kenyataan, jambatan itu dipercayai bakal mencatat rekod antara jambatan terpanjang di dunia.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Rus'sele yang juga ADUN Simpang Empat berkata, pembinaan jambatan itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi rakyat dan menarik banyak pelaburan ke Perlis.

"(Jambatan itu) dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri tersebut. Mereka akan datang ke Perlis, sebagai pusat transit (ke Langkawi). Ia dapat meningkatkan ekonomi dan pendapat rakyat," katanya.

Menurutnya, jambatan tersebut, jika menjadi kenyataan akan memudahkan penduduk di kedua-dua tempat berhubung antara satu dengan yang lain.

Sementara itu, timbalan yang dipertua PAS Langkawi Mazlan Ahmad pula berkata, pembinaan jambatan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar dan kecantikan Langkawi sekiranya terdapat kajian mendalam berhubung perkara tersebut dibuat.

"Apa kena mengena pembinaan jambatan dengan kecantikan pulau. Saya rasa (ia) tidak merosak kecantikan (pulau).

"Kalau begitu (tolak jambatan), (maknanya) kita menolak kemajuan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Monday, August 23, 2010

IKMAL pandang serius terhadap jambatan Langkawi.


Baru- baru ini digembar-gembur dengan cadangan pembinaan jambatan Langkawi-Kuala Perlis, Ikatan Mahasiswa Langkawi ( IKMAL )memandang serius terhadap cadangan pembinaan jambatan tersebut. Menurut Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu, yang akan dilaksanakan sekali dengan pembinaan jambatan monorel.
" Saya berharap cadangan projek ini dapat dipertengahkan kerana banyak kebaikan diperoleh. Saya juga berharap agar pihak berwajib antara dua kerajaan negeri dapat membuat kajian terperinci mengenai cadangan ini," kata Fithri Bin Saad, Pengerusi IKMAL.
Dalam masa yang sama, saudara Fithri mendesak pihak Permuafakatan Mahasiswa Langkawi (PEMULA) membuat kenyataan mengenai cadangan ini. IKMAL menyeru agar cadangan ini diperbincang di kalangan masyarakat Langkawi. Mereka( rakyat) yang berhak untuk membuat keputusan ini.

Mantan PM Dr M Bantah bina jambatan di Langkawi

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju cadangan projek pembinaan jambatan kerana ia akan menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu.

"Pulau Langkawi perlu kekal sebagai pulau, jika pulau hendak dijadikan daratan tidak sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berupa wang dan coklat dari Jetty Points kepada 120 anak yatim dan kanak-kanak istimewa di perkarangan Masjid Istiqamah Kuala Teriang di Langkawi malam semalam.

Dua syarikat di Perlis telah mencadangkan untuk membina jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis.

Jumaat lalu, Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu, termasuk pembinaan jambatan monorel.

Bekas Perdana Menteri itu merupakan perancang utama yang membangunkan Langkawi iaitu dari sebuah pulau yang tidak dikenali menjadi destinasi pelancongan yang unggul di negara ini dengan pelbagai produk pelancongan seperti Kereta Kabel, Galeria Perdana, Kota Mahsuri, Underwater World, Taman Burung dan Kompleks Kraf.

Dr Mahathir berkata masih banyak ruang perlu dibuat dan berharap setiap program yang akan dilaksanakan perlu mendapat kebenaran dari kerajaan agar peruntukan dapat disalurkan untuk memajukan industri pelancongan Langkawi, katanya.

B
eliau berkata Langkawi diberi tumpuan dalam industri pelancongan danberharap program ke arah itu perlu dipertingkatkan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau sedih kerana umat Islam sesama sendiri bermusuhan antara satu dengan lain.

"Kita sesama Islam mestilah bersaudara walaupun mempunyai perbezaan pendapat, tapi tidak bermusuhan sehingga berpecah yang akan menjadi lemah dan hilang kuasa di negara sendiri," katanya.

Dr Mahathir dan isteriya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama 500 umat Islam menghadiri majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di masjid berkenaan.

Friday, August 20, 2010

Jambatan Langkawi-Kuala Perlis, antara realiti atau fantasi?

Cadangan pembinaan jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis merupakan antara beberapa projek bernilai RM130 bilion yang ingin dibangunkan oleh dua buah syarikat di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin berkata hari ini pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu, yang akan dilaksanakan sekali dengan pembinaan jambatan monorel.

Sehubungan itu, beliau berkata, Juruelit Sdn Bhd, yang akan bekerja sama dengan Kalammas Sdn Bhd, akan mengemukakan cadangan pada September ini kepada kerajaan Perlis bagi pembinaan beberapa projek besar yang diberi nama RoyalWestern Coastal Coridor (RWCC).

Beliau berkata fokus cadangan itu ialah untuk membangunkan Kuala Perlis sebagai lokasi perdagangan yang moden.

Menurutnya, syarikat itu juga bersedia melaksanakan projek tebus guna pantai dan mewujudkan dua pulau buatan yang setiap satu berkeluasan lima kilometer persegi berhampiran Kuala Perlis.

Jika direalisasikan, kedua-dua pulau itu akan mengandungi pelabuhan moden, kawasan perumahan dan industri berteknologi tinggi.

"Kami juga sedang melihat potensi di wang Kelian, Bukit Putih dan Padang Besar," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman mengenai dana RWCC bernilai RM130 bilion itu di Kangar hari ini.

Juruelit Sdn Bhd diwakili Kamarudin manakala Kalamas Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Raden Mas Hilmi Mat Som menandatangani memorandum itu di sebuah hotel di Kangar.

Sementara itu, Raden Mas Hilmi berkata, pihaknya yang berpengalaman dalam bidang pembinaan dan sebagai pemaju yakin mampu melaksanakan projek yang dicadangkan itu di Perlis.

"Kami mempunyai kewangan yang kukuh dan berkeupayaan melaksanakan pembangunan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia untuk membentang projek RWCC kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.

--Bernama

Thursday, August 19, 2010

Selepas SPM, Mana Halatuju Anda?

www.iluvislam.com
Oleh : faizsufi
Editor : doraemong13


Debaran mendapat result SPM sudah terlepas. Saya juga pernah merasai debaran pada ketika ingin mengambil keputusan SPM di sekolah. Begitu mendebarkan sekali. Dan akhirnya, debaran itu hilang begitu sahaja setelah result yang dihulurkan mencapai target yang ditetapkan.

Saya rasa anda juga pernah merasai perasaan yang sama. Cuma perasaan selepas mengetahui result kita sahaja yang berbeza. Ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kesedihan dan ada yang blur.

Setelah itu, kita mula mengisi borang untuk menyambung pengajian ke tempat yang lebih tinggi. Sudah semestinya universiti menjadi pilihan utama. Umumnya, pelajar akan mengisi semua surat tawaran yang datang kepadanya. Bila dapat mana-mana tawaran, baru dia akan membuat keputusan samada mahu pergi atau tidak. Jika mendapat lebih daripada satu tawaran untuk ke pusat pengajian, ini akan menimbulkan dilema.

Ada yang ikut kawan-kawan, ada yang disuruh oleh ibu bapa dan ada yang tidak tahu hendak pergi ke mana. Mereka hanya mengikut sahaja kata orang dan kata hati mereka untuk memilih tempat pengajian yang seterusnya.

Saya pernah ditanya oleh junior saya, ke mana harus dia pergi setelah mendapat tawaran? Saya pun tergaru-garu kepala untuk menjawabnya.

Jika anda masih tercari-cari menara gading pilihan anda,apakata,fahami sejenak faktor berikut.




Secara amnya anda perlu:

1. Mempunyai cita-cita yang jelas.

Dengan cita-cita anda akan menentukan hala tuju perjalanan anda untuk meneruskan pengajian. Katakan anda mahu menjadi seorang guru. Terdapat dua pilihan. Ke maktab atau ke universiti? Dua-dua mempunyai kelebihan masing-masing. Contohnya, jika anda lulusan maktab anda akan mengajar di sekolah rendah sahaja, manakala jika anda berkelulusan universiti, anda berpeluang untuk mengajar di sekolah menengah. Tetapi lulusan maktab confirm ada kerja, lulusan universiti belum tentu.

Jika anda ingin menjadi seorang jurutera, agak-agaknya sesuai tak jika anda memohon Kolej Kejururawatan Alor Setar? Tentu tidak bukan.

Buat sesuatu perkerjaan yang anda minat. Maksudnya, pilihlah minat anda dalam menentukan pekerjaan anda kelak. Banyak keburukan dalam jangka masa panjang jika kita tidak mempunyai minat dalam sesuatu yang kita lakukan.

Keburukannya ialah kita akan tertekan dengan kerjaya tersebut dan ini boleh menyebabkan kita melakukan kerja dengan tidak ikhlas. Hasilnya pun akan tidak memuaskan hati. Tetapi minat itu boleh dipupuk. Minatilah profesion kerjaya pilihan anda, nescaya anda akan suka suatu hari nanti.


2. Keputusan SPM anda.

Jika anda mendapat straight A, saya yakin pihak terbabit akan memproses borang permohonan anda dahulu. Anda akan mudah mendapat tempat di mana-mana kemasukan untuk lepasan SPM. Tetapi, ingat bukan anda seorang sahaja yang mendapat keputusan yang cemerlang. Beribu lagi calon mendapat keputusan yang sama dengan awak. Jadi persaingan untuk mendapat tempat di universiti atau overseas adalah tinggi juga. Jangan terlalu overconfindent yang anda akan berjaya diterima masuk hanya berdasarkan slip spm anda.

Katakan keputusan anda tidak sebagus yang diharapkan, A subjek itu manakala subjek ini B. C pun ada. Untuk mendapat tempat di salah satu pengajian tinggi, anda perlu memilih bidang yang sama dengan subjek yang anda dapat A. Katakan anda A semua subjek sains. Mohonlah ke bahagian biologi, fizik atau kimia mengikut kursus yang ditawarkan. Jangan pula anda mengisi borang permohonan untuk ke kursus pengajian syariah Islam pula. Kan tidak kena tu.


3. Kewangan.

Keluarga anda daripada golongan orang yang susah dan tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung yuran pengajian anda. Jadi, anda janganlah demand nak ke IPTS atau hendak ke kolej swasta yang ada artis. Mahal tu. Anda kena fahami masalah ini, dan berbincang dengan keluarga. Seboleh-bolehnya, anda perlu ke pusat pengajian yang yuran pengajian adalah rendah dan milik awam.

Selain itu, ada juga pusat pengajian yang memberi elaun kepada pelajarnya. Saya rasa anda juga tahu bukan? Di pusat pengajian ini anda dibayar sejumlah wang setiap bulan oleh pihak kerajaan.

Antaranya maktab perguruan sebanyak RM450 sebulan, Institut Latihan Industri RM100 sebulan, UPNM sebanyak RM1100 sebulan, matrikulasi sejumlah RM4000 satu semester dan tajaan syarikat atau badan berkanun akan memberi pelajar tajaan masing-masing mengikut kontrak yang telah ditetapkan.




4. Kesihatan dan gender.

Faktor kesihatan juga memainkan peranan yang besar bagi menentukan hala tuju anda. Katakan anda mempunyai penyakit asma dan rabun, mengapa masih ingin membuang masa menghadirkan diri ke temuduga cadet pilot Malaysian Airlines System? Jika anda seorang yang tempang, rasanya pekerjaan tentera tidak sesuai dengan anda.

Sesetengah universiti memerlukan anda menyelitkan data kesihatan diri anda sekiranya anda ingin memohon sesuatu bidang.

Walaupun pada masa kini tiada lagi perbezaan jantina di mana bidang yang sepatutnya dikuasai wanita telah dimonopoli oleh lelaki, begitu juga bidang yang sepatutnya lelaki, ada juga terselit wanita bersama. Walaupun begitu ada juga sesetengah pegurusan yang hanya menerima calon lelaki sahaja untuk mendapat tajaan mereka.

Tambahan lagi, faktor jantina mempengaruhi kelayakan anda untuk bekerja di masa hadapan setelah anda tamat course yang anda ambil. Setelah anda graduate, anda (seorang lelaki) memohon jawatan setiausaha syarikat ABC. Ada lagi seorang calon B (wanita-cun) juga memohon jawatan yang sama. Selain kelayakan, bukankah faktor gender mempengaruhi keputusannya nanti.


5. Kemahiran vs sijil.

Jenis apakah diri anda yang sebenarnya? Semasa bersekolah dahulu anda seorang yang suka menghafal dan mudah memahami teori atau anda seorang pelajar yang gembira apabila kelas amali, anda perform dalam melakukan sesuatu ujikaji dan menguji kemahiran anda? Err, faham ke? Anda seorang yang sangat mudah menghafal dan minat belajar atas buku sahaja. Dan anda memang skor kertas 1 dan kertas 2 subjek sains (teori).

Oleh yang demikian itu, course sebegini mungkin sesuai bagi awak: undang-undang, sejarah, persuratan dan pengurusan. Bagi orang yang minat praktikal, banyak penawaran dalam bidang sebegini: kimpalan, automotif, jurutera,dan jentera mesin.

Sebenarnya, kemahiran dan sijil perakuan ijazah/diploma adalah sama penting. Kebanyakan syarikat memilih calon berdasarkan tiga kriteria: kelayakan, kemahiran dan bahasa. Banyak juga pusat pengajian yang mementingkan pengkhususan dalam sesuatu kemahiran seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Kemahiran Mara, Politeknik dan Institut Latihan Industri.

Pusat pengajian ini juga menawarkan diploma/ijazah kepada pemohon dan telah diperakui oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Suruhanjaya Akreditasi Malaysia.


6. Penawaran dan peluang di masa hadapan.

Anda juga perlu bijak menganalisis jangka masa pengajian anda dan juga pasaran tempatan/luar negara.

Pengiraan mudah seperti begini, pada zaman 1999, kerajaan melancarkan kempen celik IT di kalangan rakyat. Ramai pelajar jurusan IT mendapat peluang pekerjaan dan ini mempengaruhi calon lain untuk mengambil bidang yang sama. Hasilnya, pasaran menjadi tepu dan ramai lepasan IT menjadi penganggur.




Kemudian keluar pula khabar menyatakan kekurangan lelaki dalam beberapa sektor seperti kejururawatan, pendidikan dan sektor awam. Hasilnya, ramai pelajar lelaki memohon untuk memasuki bidang berkaitan.

Anda jangan melakukan seperti di atas. Anda perlu analisis dengan bijak. Fikirkan dan fikirkan. Katakan sebagai contoh, program ijazah mengambil masa 5 tahun, apakah dalam 5 tahun lagi ada peluang pekerjaan untukku? Bagaimana dengan persaingan? Bagaimana dengan kelayakan minimum? Anda perlu bijak memilih bidang anda.

Bidang-bidang yang semakin berkembang dan penawaran pasti wujud adalah business, kejuruteraan, komunikasi dan perhubungan. Bidang tidak berkembang tetapi ada kerja adalah seperti pendidikan, perubatan, undang-undang, ketenteraan dan polis.

6 faktor di atas banyak mempengaruhi calon lepasan SPM untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Anda perlu bijak memilih agar tidak menyesal di kemudian hari. Bertanya orang yang berpengalaman adalah kaedah terbaik bagi mendalami minat anda dan mencari tempat pengajian tinggi anda yang seterusnya.

Mahasiswa Islam Kecam Chua

Sekumpulan persatuan mahasiswa Islam hari ini menghantar memorandum menuntut Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek menarik balik kenyataannya yang didakwa menghina sistem pentadbiran dan kewangan Islam.

Me
morandum daripada sembilan persatuan itu diserahkan oleh presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Ahmad Syazwan Hasan kepada seorang pembantu Chua pada jam 3.00 petang di ibu pejabat parti itu ibu negara.

Menurut Ahmad Syazwan (kanan), kenyataan Chua yang dikatakan mendakwa negara Islam mundur, tidak membangun dan tidak progresif serta kenyataannya mengenai mata wang Syariah telah "mengganggu sensitiviti umat Islam".

"Kita anggap, beliau tidak faham (mengenai perkara ini). Ini satu penghinaan terhadap Islam dan mengganggu sensitiviti umat Islam," katanya.

Pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA di Alor Star 6 Ogos lalu, Chua dilapor memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam.

Manakala pada 14 Ogos, Chua dilaporkan mendakwa pelabur khuatir sekiranya PAS melaksanakan sistem wang syariah sekiranya berjaya menjadi parti pemerintah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad Syazwan juga, secara sinis juga menjemput Chua menghadiri forum penerangan berhubung sistem pentadbiran dan ekonomi Islam yang akan dianjurkan mereka.

"Kita akan buat pada bila-bila masa dan di mana-mana universiti," katanya sambil mencabar Chua berdebat sekiranya beliau enggan menarik balik kenyataannya.

Antara yang hadir pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).

from malaysiakini.com

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan ya Ramadhan.



Salam rahmat dan ramahan, hari ini 11 ogos 2010 merupakan hari pertama umat islam menjalani proses tarbiyyah sekali tahun. Saya mewakili seluruh mahasiswa Langkawi, menyambut ramadhan kali dengan penuh. Rasa baru semalam kita berpuasa, hari ini sudah masuk 1 ramadhan. Dalam sibuk kita mengharungi proses pembelajaran di kampus, kita jangan lupa, untuk memperbanyak amalan sunat di bulan. Untuk sedia maklum, bulan ramadhan merupakan salah satu dari tuntutan islam, seperti dalam al-quran, surah al-baqarah, ayat 183,

" wahai orang-orang beriman telah diwajibkan keatas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan keatas umat terdahulu, moga-moga kamu bertaqwa".

Jelas ayat di atas mewajibkan berpuasa di bulan ramadhan. Apabila kita lihat kembali sejarah islam, banyak peperangan berlaku di bulan ramadhan. Dimana perang pertama islam iaitu Badar Al-kubra. Dimana 313 tentera islam menetang 1000 tentera musyrikin. Allah menghadiahkan kemenangan islam ketika itu.Bulan ramadhan merupakan juga bulan untuk menyucikan diri kita.Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Moga ramadhan kali lebih baik dari ramadhan yang lepas.


Fithri Bin Saad
Pengerusi Ikatan Mahasiswa Langkawi ( IKMAL )