Tuesday, September 21, 2010

Feri penumpang tenggelam di jeti Kuah

Sebuah feri yang sebelum ini diguna membawa penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi tenggelam ketika disenggara di Jeti Kuah di Langkawi.

Pengarah Urusan JMV Ferry Service Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata insiden itu disedari berlaku kira-kira jam 9.30 malam semalam oleh pekerja syarikat tersebut.

Feri itu tenggelam sepenuhnya pukul 7.30 pagi tadi, katanya ketika dihubungi di Langkawi hari ini.

Beliau berkata feri tersebut yang boleh memuatkan sehingga 90 penumpang dihantar untuk penyenggaraan selepas berlaku kebocoran pada bahagian ekzos.

Kerugian ditaksir lebih RM1 juta.

Difahamkan usaha menaikkan feri seberat 25 tan dengan panjang lebih 20 meter itu sedang dijalankan menggunakan kren, manakala tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati anggota Jabatan Laut sedang mengawal tumpahan minyak dari feri tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Mohamad Sayuti Sapie berkata pihaknya telah mengambil sampel tumpahan minyak di kawasan kejadian.

"Kita sedang bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk memantau keadaan kawasan itu," katanya ketika dihubungi.

- Bernama

No comments:

Post a Comment