PAS Perlis dan Langkawi hari ini menongkah arus dengan penduduk pulau tersebut apabila tetap mahukan sebuah jambatan dibina menghubungkan antara kedua-dua kawasan tersebut.
Malah mereka juga menolak pandangan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan RM130 bilion itu atas alasan "menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu".
"Kalau pembinaan jambatan sahaja, ia tidak menjejaskan (kecantikan) pulau itu. Kita jangan jadikan Langkawi sebagai pusat perindustrian.
"Kekalkan sebagai pusat pelancongan. Kekalkan alam semula jadi flora dan fauna," kata Ketua Penerangan PAS Perlis Rus'sele Eizan.
Rus'sele mengulas cadangan pembinaan jambatan tersebut yang mendapat bangkangan daripada Dr Mahathir - penggerak utama kemajuan Langkawi.
Dilaporkan cadangan pembinaan jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis merupakan antara projek yang ingin dibangunkan oleh Juruelit Sdn Bhd dan Kalammas Sdn Bhd.
Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin dilapor berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana untuk melaksanakan projek itu, yang akan dilaksanakan sekali dengan pembinaan jambatan monorel.
Tolak kemajuan
Jika menjadi menjadi kenyataan, jambatan itu dipercayai bakal mencatat rekod antara jambatan terpanjang di dunia.
Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Rus'sele yang juga ADUN Simpang Empat berkata, pembinaan jambatan itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi rakyat dan menarik banyak pelaburan ke Perlis.
"(Jambatan itu) dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri tersebut. Mereka akan datang ke Perlis, sebagai pusat transit (ke Langkawi). Ia dapat meningkatkan ekonomi dan pendapat rakyat," katanya.
Menurutnya, jambatan tersebut, jika menjadi kenyataan akan memudahkan penduduk di kedua-dua tempat berhubung antara satu dengan yang lain.
Sementara itu, timbalan yang dipertua PAS Langkawi Mazlan Ahmad pula berkata, pembinaan jambatan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar dan kecantikan Langkawi sekiranya terdapat kajian mendalam berhubung perkara tersebut dibuat.
"Apa kena mengena pembinaan jambatan dengan kecantikan pulau. Saya rasa (ia) tidak merosak kecantikan (pulau).
"Kalau begitu (tolak jambatan), (maknanya) kita menolak kemajuan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment